Kalau jodoh takkan kemana...


Hati berdetak kencang setiap kali bertemu pandang dengan jejaka pujaan hatinya. Iman segera menundukkan pandangannya. Bimbang akan panahan yang bakal berlaku kepada Iman andai dia terus memandang jejaka itu. Sungguh telah lama dipendamkan rasa hati terhadap jejaka itu namun untuk meluahkan Iman tidak berani. Perasaan malu mencengkam dirinya. Patutkah diluahkan?
Ahh ...malu sekali untuk mengakui rasa yang bertamu di hati. Berkali-kali Iman nafikan, namun ia tetap menganggui Iman. Astaghfirullah hal azim... Ya Allah, jauhkanlah gangguan perasaan ini daripada hatiku. Nasihat bonda untuk sentiasa menjaga akhlak sebagai muslimah sentiasa bermain di minda Iman.
Saban hari Iman meluahkan rasa hatinya kepada Allah SWT. Iman berasa lega meluahkan segalanya kepada Si Pencipta. Satu perkara yang Iman amat pasti. Hatinya tenang sekali setiap kali usai bersolat. Hatinya juga berasa sangat lapang. Kadang-kala mengalir air mata Iman. Dirinya dulu amat jauh daripada Allah. Tidak pernah sekali pun dia ingin melakukan solat-solat tambahan seperti itu. Baginya, solat fardhu sudah mencukupi. Iman salah ...hatinya sangat kosong dahulu namun hari ini Iman mampu untuk mengakui hatinya sudah tidak kosong lagi. Allah raja di hatinya yang telah memenuhi segenap ruang hatinya.
Iman tidak mahu gopoh di dalam mencari pasangan sementelah dirinya masih lagi menuntut di tahun akhir di universiti.Iman perlu menyudahkan pengajiannya dahulu sebelum berfikir mengenai pasangan hidup apatah lagi perkahwinan. Iman akui, memiliki pasangan adalah fitrah semulajadi manusia dan Iman sentiasa mendoakan semoga Allah mengurniakan seorang suami yang mampu membimbingnya ke jalan Syurga.
Iman menyimpan rapi perasaan itu sendiri. Dia tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan daripada jejaka itu. Iman khuatir, andai hatinya terlalu berharap, dia bakal kecewa suatu hari nanti. Allah pengatur segalanya. Dia pasrahkan apa sahaja qada' dan qadar Allah terhadapnya. Sementelah dirinya belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga, adalah molek sekiranya diabaikan dahulu perasaan yang sekian lama menghuni hatinya. Pada pandanga Iman, jejaka itu sangat baik pegangan agama dan akhlaknya.
Setelah 3 tahun bergelut sebagai seorang pelajar universiti,Iman akhirnya berjaya bergraduasi dengan cemerlang. Bonda tersenyum bangga melihat kejayaan Iman, Itulah hadiah terbaik untuk bondanya. Universiti kini ditinggalkan. Lambaian rakan-rakan semakin jauh daripada pandangan mata. Sedang asyik Imanmelambai rakan-rakannya daripada dalam kereta, matanya tertancap kepada susuk tubuh seseorang. Dia ...selamat tinggal insya-Allah semoga bertemu lagi, bisik Iman perlahan. Perasaan sayu menggayuti hati. Air matanya dikesat perlahan. Dalam diam, bonda memerhatikan perlakuan Iman. Cepat-cepat Iman mengalihkan pandangan ke luar tingkap kereta. Malunya dia andai bonda mengetahui hal hatinya.
Iman kini seorang wanita yang berkarier. Namun sunyi hati mendambakan teman bernama suami. Lantas hal itu disuarakan kepada bondanya. Iman redha akan pilihan bondanya. Pasti mereka akan mencari seorang yang seorang yang sesuai untuk dirinya. Sesekali Iman teringat akan jejaka itu. Iman tersenyum sendiri mengenangkan kisah lalu. Sekian waktu telah berlalu, barangkali dia sudah bergelar seorang suami dan bapa.
Suatu hari,bonda membawa perkhabaran bahawa mereka telah menemui seorang calon suami untuk Iman. Alhamdulillah,Iman melafazkan syukur. Iman sangat percaya akan pilihan bondanya. Iman hanya mengetahui sedikit tentang calon suaminya. Itu sudah memadai untuk Iman.Iman segera beristikarah meminta ketetapan hati di dalam membina sebuah rumah tangga. Semoga semuanya di dalam redha Allah SWT. Setelah beberapa kali beristikarah, Iman menemui jawapan. Ia tidak hadir melalui mimpi seperti mana biasa namun Iman merasai ketenangan dan kelapangan hasil daripada istikharahnya.

Namun fikiran Iman sering terganggu. Bayangan jejaka itu sering menghantui fikirannya sejak kebelakangan ini. Iman meluahkan hal itu kepada bonda. Bonda hanya berdiam memarahi Iman tidak, menasihati Iman untuk melupakan jejaka itu pun tidak. Iman bingung akan reaksi bonda. Seboleh mungkin Iman mahu melupakan lelaki itu. Telah lama Iman singkirkan wajah lelaki itu dari mindanya namun mengapa ia kembali hadir?
Mendengarkan kata-kata Iman, bonda segera ke biliknya dan kembali dengan membawa sekeping foto. Dihulurkannya kepada Iman.
"Gambar bakal suami Iman ye bonda? Bonda simpan ajelah. Iman tahu, bonda mesti pilihkan yang paling beriman untuk Iman kan..."
"Cuba tengok dulu Iman."
Diambilnya foto di tangan bonda dengan hati yang berat. Dia belum bersedia untuk melihat wajah bakal suaminya. Baginya, paras rupa tidak penting dan dia tetap akan mengenali bakal suaminya apabila mereka telah sah menjadi pasangan suami isteri kelak.
Subhanallah, wajah yang cukup dikenali Iman. Air mata Iman mengalir deras. Lantas Iman memeluk bonda. Terharu Iman akan ketentuan takdirnya. Bonda mengusap-usap belakang Iman. Bondanya turut terharu mendengar tangis syukur Iman.
"Itulah, jual mahal. Bonda nak tunjukkan dari awal lagi tapi Iman tak nak."
"Iman tak sangka bonda. Tapi macam mana bonda? Bonda kenal dia? Tapi Iman tak pernah cerita pun..."
"Iman sayang, Zubair itu anak kenalan ibu. Setelah sekian lama ibu terputus hubungan dengan umi Zubair. Alhamdulillah, akhirnya kami bertemu semula. Banyak yang ibu bualkan dengan umi Zubair termasuklah niat ibu untuk mencari calon menantu. Umi Zubair yang cadangkan supaya menjodohkan Iman dan Zubair. Subhanallah Iman, bonda pun tak sangka itulah lelaki yang berjaya buat anak ibu menangis. Ingatkan sedih tinggalkan universiti, rupa-rupanya sedih tinggalkan Zubair ya..."
Iman termalu sendiri. Syukurnya dipanjatkan kepada Ilahi kerana menganugerahkan pertemuan yang indah ini.
"Ni ada surat dari Zubair. Umi Zubair yang sampaikan ke ibu. Dia minta ibu sampaikan ke Iman."
Bismillah hir rahmanirrahim,
Sungguh aku bersyukur dengan jalan jodoh kita. Nurul Iman, kemungkinan ketika kita berada di universiti suatu ketika dahulu, aku kurang mengetahui akan perihalmu. Namun, dalam diam aku mengagumimu, seorang yang sentiasa menjaga batas pergaulan dan auratmu. Sebenarnya, di hari graduasimu, aku sengaja hadir ke situ untuk memberikanmu sekeping warkah. Warkah untuk menyatakan isi hatiku sebenarnya namun aku terlewat tiba. Khabaran umiku akan dirimu membuatku menangis syukur. Alhamdulillah..aku bersyukur kerana Allah telah menetapkan Nurul Iman untukku, sebagai pelengkap rusuk kiriku. Izinkanku untuk membimbingmu hingga ke Jannah.
-Zubair-

Comments

Popular posts from this blog

Setelah sekian lama menghilang

Dirgahayu Kebawah Duli Tuan Patik